SEREMBAN – Seorang Penolong Pegawai Kesihatan berlari keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didakwa atas pertuduhan menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,400 daripada pemilik restoran, empat tahun lalu.
Tertuduh, N.Ganesh, 33, meluru keluar bagi mengelak gambarnya dirakam jurugambar selepas prosiding kesnya selesai.
Dalam prosiding kes, Ganesh, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Gred U29 di Unit Inspektorat dan Pendakwaan, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban telah setuju menerima tanpa balasan wang tunai RM1,400 daripada seorang pemilik sebuah restoran.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 11 pagi, Disember 2017 berhampiran Restoran Kassim Dua Puluh Dua Puluh di Seremban.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM sebulan sekali setiap bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh yang diwakili peguam daripada Tetuan Morthi, Segaran & Co memohon anak guamnya dikenakan jaminan tidak melebihi RM5,000 atas alasan dia merupakan penjawat awam yang telh bertugas selama 11 tahun selain tiada rekod kesalahan lampau.
“Orang kena tuduh (OKT) merupakan pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta mempunyai enam tanggungan.
“Penjamin merupakan kakak kandung OKT yang tidak bergaji iaitu suri rumah, bagi menanggung jumlah jaminan, dia perlu meminjam daripada suami dan ahli keluarga yang lain,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Seremban setiap bulan.
Kes akan disebut semula 17 Januari tahun depan. – K! ONLINE