SHAH ALAM – Tindakan lelaki yang menghilangkan diri selepas memenangi bidaan harta usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat adalah sama seperti menghina dan mempermainkan arahan mahkamah.
Peguam Nurul Hafidzah Hasaan berkata, proses lelongan itu merupakan arahan dikeluarkan pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada bulan lalu yang membenarkan harta Sajat disita dan dilelong ekoran gagal membayar pampasan kepada OWA Resources.
Katanya, perbincangan akan dilakukan untuk menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap pembida itu.
“Kami belum putuskan (tindakan) dan baru hendak bincang tindakan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! terdahulu melaporkan seorang lelaki yang berjaya membida harta lelongan milik Sajat dipercayai pembantu peribadi (PA) kepada usahawan kosmetik terkenal bergelar Datuk Seri.
Individu yang gagal dikesan itu ialah Muhammad Syazwan Ahmad Fiesol. – K! ONLINE