PETALING JAYA – Lelongan aset peribadi usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat di Jalan Polo, Kota Damansara dekat sini bertukar kecoh apabila pembida yang berjaya membeli 40 aset usahawan kontroversi itu lesap dan gagal dikesan setakat malam tadi.
Peguam Zati Zulkifli daripada NHA Advocates & Solicitors yang mewakili bekas stokis terbesar Sajat, OWA Resources Sdn. Bhd. memberitahu, lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Syazwan itu hilang selepas mengatakan mahu mengambil wang di bank.
“Kami tunggu sehingga pukul 4 petang, namun dia masih tidak muncul. Kami kemudian hubungi mahkamah untuk dapatkan tarikh baharu arahan bagi melelong aset Sajat,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, mahkamah akan menetapkan tarikh baharu dalam tempoh tujuh hari mulai semalam.
Menurut Zati, keadaan ini menjadi masalah kerana ramai lagi yang ingin membida.
“Sebelum hilang, lelaki itu meletakkan deposit sebanyak RM5,000 dan ia akan dimasukkan ke dalam wang pampasan hasil jualan,” katanya.
Terdahulu, proses lelongan itu bermula pada pukul 10.30 pagi dengan kira-kira 30 orang datang selepas berminat dengan lelongan tersebut.
Difahamkan, rumah itu kini didiami oleh ibu bapa kandung anak angkat Sajat termasuk beberapa pembantu rumah.
Antara yang dilelong termasuk sebuah piano jenama Young Chang bernilai RM40,000, set bilik tidur, pendingin hawa, pelbagai jenis sofa, set pinggan mangkuk, lampu gantung, peralatan elektrik dan lain-lain.
Lelongan itu mencerminkan cita rasa Sajat yang suka kepada barangan berjenama dan mewah sesuai dengan perniagaan yang diusahakan sebagai penjual pelbagai jenis produk berkaitan penjagaan diri.
Hanya lapan orang dibenarkan masuk pada satu-satu masa dan acara itu berjalan dengan lancar dengan Muhammad Syazwan dipilih sebagai pembida utama.
Dia berjaya membuat bidaan paling tinggi ke atas 40 barangan yang dilelong.
Ada juga individu yang pulang hampa apabila tidak dibenarkan membuat bidaan kerana hendak membeli satu atau dua barang.
Bagaimanapun, nilai lelongan itu masih belum mencukupi seperti yang dituntut oleh anak guamnya sebanyak RM200,000.
“Bidaan lelongan itu bermula daripada harga RM77,600 sebelum berakhir pada harga RM132,000 selepas melalui enam kali pusingan.
“Proses lelongan disertai lapan pembida. Selepas melalui beberapa pusingan, akhirnya kita memuktamadkan seorang lelaki menjadi pemilik baharu aset Sajat dengan harga RM132,000,” kata Zati.
Tambahnya, masih ada baki RM50,000 yang perlu dituntut. Langkah seterusnya ialah pihaknya akan menilai semula tindakan selanjutnya.
Sementara itu, bekas stokis utama Sajat, Nurwati Hussin, 41, berkata, dia akan berbincang dengan peguam untuk proses selanjutnya.
Pada November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan harta Sajat disita bagi menuntut pampasan RM200,000 untuk dibayar kepada bekas stokis utamanya.