AMPANG – Pejabat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permata, Ampang di sini hangus 20 peratus dalam kebakaran yang berlaku pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Katanya, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dan Pandan telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pejabat yang terbakar itu terletak di tingkat satu sekolah terbabit dan berkeluasan 20×30 kaki persegi.
“Api dapat dikawal kira-kira pukul 7.41 pagi kemudian dengan anggaran kemusnahan adalah 20 peratus,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE