fbpx

Libatkan 1,040 agensi pengambilan pekerja asing berdaftar – PAPSMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan digesa untuk melibatkan 1,040 agensi pengambilan pekerja asing berdaftar sedia ada untuk menjadi pengantara dan mempercepatkan kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, langkah tersebut perlu dipertimbangkan sebagai melancarkan aliran pengambilan dan menghentikan rasuah dan penglibatan orang tengah dalam agenda pengambilan pekerja asing.

“PAPSMA yang terdiri daripada empat persatuan di Malaysia menggesa kementerian menghentikan pengambilan terus daripada individu atau syarikat bagi menjaga keselamatan dan kebajikan setiap pekerja sama ada tempatan atau asing dalam sektor pekerjaan.

“Kami sebagai perantara antara kerajaan dengan negara asal pekerja. Mereka dan majikan yang berkelayakan memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pekerja dilindungi, selamat dan terjamin di bawah Akta Kerja 1955,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, pihaknya turut menguatkuasakan aplikasi digital Working For Workers (WFW) yang disediakan Kementerian Sumber Manusia dalam memastikan tiada pekerja yang dihukum atau dilayan dengan buruk oleh mana-mana majikan di negara ini.

Katanya, aplikasi digital itu bermanfaat untuk memastikan tiada penganiayaan dilakukan terhadap mana-mana pekerja, sekali gus memberi jalan bagi mereka membuat aduan rasmi melaluinya untuk tindakan segera.

“Kami akan memastikan setiap pekerja asing yang masuk ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan secara sah dan meninggalkan negara secara sah selepas kontrak pekerjaan mereka tamat.

“Proses ini akan memastikan bahawa bilangan pendatang tanpa izin di negara ini akan dikurangkan sekali gus mengelakkan gejala sosial dalam sektor pekerjaan selain menjimatkan wang kerajaan melalui pembayaran levi, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lain-lain,” katanya.

Tambahnya, PAPSMA juga menyokong inisiatif kerajaan menubuhkan pelbagai Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) di bawah Piawaian Keselamatan Penginapan Pekerja Global dan menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju agar pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor, selain daripada sektor perladangan yang telah dipersetujui sebelum ini.

Kata Saravanan, pengambilan pekerja asing itu akan dibuka untuk sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing iaitu perladangan, pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pekhidmat domestik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI