KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia membantu pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak yang menjadi mangsa dalam kejadian buli pada 10 Disember lalu.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kementerian mempunyai lembaga kaunselor di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberikan khidmat kaunseling kepada mangsa dan keluarga yang terlibat.
Katanya, KPWKM terbuka dalam aspek itu dan akan memberi bimbingan dari segi psikososial dalam usaha untuk membantu mereka.
“Isu buli ini sudah pasti ia melibatkan golongan kanak-kanak dan kementerian sewajarnya juga perlu menyelesaikannya. Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan kementerian lain untuk menyelesaikan isu buli kerana ia banyak berlaku di sekolah.
“Jika kes ini berlaku di sekolah, sudah pasti pengawasan dan tindakan perlu diambil oleh pihak sekolah untuk mengawasinya supaya perkara ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya. – K! ONLINE