YAN – Kerajaan Negeri Kedah hari ini meluluskan cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada 18 Januari depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan itu diharap dapat memberikan kegembiraan kepada semua pihak yang menyambut perayaan tersebut.
“Cuti peristiwa ini bukan diberikan secara automatik setiap tahun, sebaliknya perlu dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Exco setiap kali tibanya satu-satu peristiwa.
“Hari ini kita telah putuskan dalam mesyuarat Exco untuk meluluskan cuti peristiwa tersebut dan harapnya keputusan ini akan beri kegembiraan kepada mereka yang menyambut Thaipusam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Pembinaan Empangan Sabo serta Kerja-Kerja Berkaitan Dalam Daerah Yan dan Kuala Muda di Pusat Bekalan Titi Hayun di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selain turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Norizan Khazali serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dr. Ching Thoo Kim. – K! ONLINE