KEMAMAN – Jabatan Perikanan Terengganu telah mengambil sampel ketulan batu didakwa muntah ikan paus yang dijumpai seorang wanita pada akhir bulan lalu.
Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, sampel itu diambil pegawai jabatan itu yang berkunjung di kedai makan Aida Zurina Long, 41, di Kemasik di sini hari ini.
“Sampel tersebut akan dihantar untuk dianalisa bagi memastikan ketulenannya sama ada benar-benar muntah ikan paus atau sebaliknya.
“Kita risau jika ia sebenarnya sisa gumpalan bahan lain yang dikhuatiri berbahaya dan mengancam nyawa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ruzaidi berkata, pihaknya hanya mengetahui penemuan objek didakwa muntah ikan paus itu setelah disiarkan media termasuk Kosmo! Online semalam.
Ujar beliau, penemuan itu sepatutnya dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan negeri memandangkan ikan paus merupakan antara spesies terancam yang dilindungi.
Kosmo! hari ini melaporkan Aida Zurina menemui objek menyerupai ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus sewaktu memancing bersama keluarganya di Marang pada akhir bulan lalu.
Sekiranya ketulenan objek itu disahkan, nilai pasarannya mencecah RM211,000 sekilogram. – K! ONLINE