fbpx

Isteri runsing, suami dakwa terkandas di Lombok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusnizawati menunjukkan laporan polis dan gambar suaminya yang terkandas di Lombok ketika ditemui pemberita di Melor, Kota Bharu hari ini.- FOTO: YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU – Isteri kepada seorang guru runsing memikirkan nasib suaminya yang kini terkandas di Mataram, Lombok, Indonesia semasa menjalankan urusan perniagaan mutiara di negara berkenaan sejak sembilan bulan lalu.

Yusnizawati Ghazali, 40, berkata, dia hanya dapat berhubung dengan Zaidee Jusoh, 48, menerusi aplikasi WhatsApp untuk mengetahui perkembangan terkini keadaan suaminya itu.

Menurutnya, suaminya telah berlepas ke Lombok pada Mac lalu atas urusan perniagaan mutiara di negara berkenaan.

“Dia memaklumkan tidak dapat pulang ke tanah air Ogos lalu selepas mengalami kerugian sebanyak RM300,000 akibat terjebak dengan satu sindiket penipuan mata wang dolar yang dilakukan oleh rakan di sana yang dikenali sebagai Sopian.

“Sopian yang merupakan warganegara Indonesia telah ditahan oleh pihak berkuasa negara berkenaan, namun dibebaskan pada September lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Melor di sini hari ini.

Yusnizawati memberitahu, sepanjang berada di Lombok, suaminya telah menyewa sebuah kereta jenis Honda Brio Satya atas nama pemilik Tiara Septiani untuk melancarkan pergerakannya di negara berkenaan.

Katanya, malang menimpa suami apabila kereta yang disewanya itu telah dibakar oleh seseorang.

“Keadaan itu menyebabkan suami saya diarah membayar ganti rugi berjumlah RM60,000 atas kerosakan kereta berkenaan. Pada masa yang sama, pasport milik suami saya telah ditahan oleh pihak peguam di Indonesia.

“Tindakan itu sebagai jaminan supaya suami tidak melarikan diri dan pulang ke Malaysia. Apabila difikirkan keadaan itu, saya jadi runsing kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk membayar jumlah ganti rugi,” ujarnya.

Yusnizawati berkata, dia merayu kepada semua pihak yang sudi untuk membantu membawa pulang suaminya ke tanah air dengan selamat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI