KLANG – Kelicikan empat sahabat menjadikan rumah teres sebagai lokasi memproses dan menjual air ketum serta ubat batuk sejak enam bulan lalu berakhir apabila digempur polis, Ahad lalu.
Kesemua suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah malam di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ketika serbuan empat suspek didapati sedang memproses air ketum di dalam rumah yang disewa mereka itu.
Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebanyak 400 botol air ketum berisipadu 600 liter dan 648 botol ubat batuk (583.20 liter).
“Selain itu, kita turut merampas empat bungkusan daun ketum yang dianggarkan seberat 20 kilogram.
“Kesemua rampasan termasuk sejumlah wang tunai itu dianggarkan bernilai RM12,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, hari ini.
Hoong Fong menambah, siasatan awal pihaknya mendapati air ketum dan ubat batuk berkenaan dijual untuk pelanggan di sekitar daerah ini.
“Air ketum itu dipercayai dijual dengan harga RM15 sebotol manakala RM10 bagi ubat batuk.
“Kedua-duanya dijual secara berasingan manakala daun ketum berkenaan pula disyaki diperoleh dari sekitar Klang,” ujarnya.
Jelas beliau, semakan mendapati seorang daripadanya memiliki rekod lampau dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE