PETALING JAYA – Dilihat ceria, minah lawak dan sering menggeletek hari netizen dengan aksi lucu dalam media sosial, siapa sangka penyanyi bersuara lunak Shiha Zikir sebenarnya menanggung kesedihan apabila dipersoalkan dan diperlekehkan oleh seorang rakan juga dalam kalangan selebriti gara-gara tidak berpuas hati dengan perkembangan kerjayanya yang dinikmati hari ini.
Ujar penyanyi berusia 34 tahun itu, dia telah dihubungi artis terbabit semata-mata untuk mempersoalkan kemampuannya sebagai seorang anak seni.
“Orang sebenarnya tidak tahu kesedihan yang saya tanggung sebab orang hanya nampak saya gembira di luar. Hakikatnya saya ceburi dunia seni ini sebab mahu cari pendapatan bagi menyara keluarga.
“Hanya mereka yang ikut perkembangan karier seni saya sahaja yang tahu betapa sakitnya untuk menjadi seorang ‘Shiha Zikir’.
“Ramai sebenarnya yang memperlekehkan kerja saya dalam bidang seni. Malah ada juga rakan industri sanggup menghubungi saya dan marah-marah. Katanya, dia suruh saya balik rumah cermin muka sendiri sama ada layak atau tidak,” dedah Shiha yang mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan identiti selebriti yang dimaksudkan.
Kata bekas peserta program Mentor musim kelima itu, sepanjang 20 minit dalam talian, artis terbabit hanya bercakap tentang perkara negatif selain merendah-rendahkan dirinya.
“Orang itu (rakan selebriti) adalah seseorang yang saya tidak sangka akan cakap begitu. Dia persoalkan apa yang saya buat dalam industri.
“Mungkin orang nampak saya buat semua benda sehingga menyebabkan ada beberapa pihak yang kurang senang dengan saya. Tapi saya nak cakap satu saja, saya tak pernah merayu kepada sesiapa, namun Allah yang berikan rezeki ini,” jelasnya.
Menurut pelantun lagu Aewo itu lagi, dia tidak menyangka kawan yang dikenali rapat sanggup bercakap negatif mengenai dirinya sehingga dia mengalami serangan panik.
“Bila dapat panggilan daripada kawan, pastilah saya seronok tapi yang berlaku adalah sebaliknya. Saya sangat sedih. Mujur ketika dia hubungi, saya di dalam kereta. Lepas habis menangis, baru saya masuk dalam rumah jumpa ibu.
“Walaupun saya beritahu ibu, tiada masalah tapi hakikatnya saya susah nak sorok kesedihan. Sebenarnya dah beberapa kali saya sedih sehingga mengalami serangan panik,” katanya usai sidang media pengumuman senarai Top 5 Anugerah MeleTOP Era (AME) 2021 semalam. – K! ONLINE