IPOH – Pihak sekolah disaran menggunakan khidmat Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis bagi memantau salah laku dalam kalangan pelajar termasuk membabitkan kes buli.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihak sekolah seperti pengetua, guru dan warden asrama boleh berbincang dengan PPS sekiranya terdapat isu-isu berbangkit di sekolah masing-masing.
Katanya, sekurang-kurangnya seorang PPS ditempatkan di sebuah sekolah.
“Kita tempatkan seorang PPS di sekolah bagi memastikan segala maklumat yang ada di sekolah tersebut boleh disalurkan kepada pihak polis secepat mungkin.
“Kalau tidak, mungkin sukar untuk mencari siapa yang bertanggungjawab, jadi bila ada polis sebagai PPS di sekolah tersebut, maka maklum balas akan dapat lebih cepat.
“Itu sebabnya kita peruntukan PPS, gunakan mereka untuk kesejahteraan di sekolah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Khas sempena Lawatan Kerja Timbalan Ketua Polis Negara ke Kontinjen Perak di sini hari ini.
Dalam laporan media semalam, Mazlan menasihatkan agar laporan polis segera dibuat sekiranya menyedari wujud sebarang ‘bunga’ atau unsur awal kejadian buli melibatkan pelajar sekolah.
Tegas beliau, perkara itu dianggap perlu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil pihaknya.
Media pada Jumaat lalu melaporkan, video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.
Susulan kejadian itu, 10 pelajar lelaki melibatkan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang lagi berusia 15 tahun ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk membantu siasatan. – K! ONLINE