SEPASUKAN penyelidik dari Universiti Kyoto di Jepun sedang membangunkan pelitup muka yang boleh bersinar sekiranya kehadiran virus Covid-19 dikesan padanya.
Pelitup muka tersebut akan bersinar ketika terkena sinar ultraviolet (UV).
Pelitup muka bersinar itu dihasilkan dengan menggunakan antibodi yang diekstrak daripada telur burung unta.
Ketua penyelidik, Yasuhiro Tsukamoto berharap dengan teknologi itu akan memberikan cara yang lebih mudah buat para pengguna untuk mengetahui sama ada mereka telah dijangkiti dengan virus Covid-19 atau tidak.
Ujian berterusan dilakukan bagi melihat keberkesanannya dan pasukan penyelidik juga sedang menunggu persetujuan pemerintah untuk menjual pelitup muka bersinar tersebut pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, penyelidik menyatakan burung unta mampu untuk menghasilkan beberapa jenis antibodi atau protein yang berbeza dalam mengesan kewujudan benda asing dalam tubuhnya.
Pada Februari 2020, pasukan penyelidik telah cuba menyuntik virus Covid-19 yang tidak aktif dan tidak mengancam nyawa kepada seekor burung unta betina.
Melalui eksperimen itu, ia berhasil mengekstrak sejumlah besar antibodi daripada telurnya.
Penyelidik kemudian membangunkan filter (penapis) khusus pada pelitup muka yang dihasilkan.
Filter itu kemudian diwarnakan dengan pewarna fluorescent yang mengandungi antibodi virus korona daripada telur burung unta.
Jika terdapat virus, filter itu akan bersinar saat disinari cahaya UV.