KUALA LUMPUR – Seorang bekas peguam didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 18 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang sebuah firma guaman berjumlah RM1.34 juta untuk kegunaannya sendiri, lima tahun lalu.
Bagaimanapun Loo Keong Loong, 45, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Datin Sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-18, tertuduh didakwa sebagai salah seorang rakan kongsi di sebuah tetuan, yang diamanahkan dengan wang dalam akaun amanah pelanggan iaitu akaun CIMB bank milik tetuan itu, telah melakukan pecah amanah dengan mengambil wang berjumlah RM1,348,584 menggunakan 18 cek untuk kegunaannya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Jalan Solaris Mont Kiara di sini, antara 6 Januari hingga 23 Februari 2016
Hukuman dikenakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara tidak kurang dari dua tahun dan penjara maksimum 20 tahun, dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan tiga orang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.
Selain itu syarat tambahan lain ialah, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd. Jafri Nur Aqilah Ishak manakala tertuduh diwakili peguam Tan Teck Yew.
Tarikh 21 Januari 2022 ditetapkan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE