LONDON – Pemain muda Crystal Palace, Conor Gallagher kini berdepan cabaran besar bagi memastikan prestasi terbaiknya kekal selepas meledak dua gol untuk bantu pasukan menang 3-1 ke atas Everton awal pagi semalam.
Aksi hebat yang dijelmakan pemain pinjaman dari Chelsea itu turut mendapat pujian daripada pengurus Palace, Patrick Vieira, namun memberi peringatan kepada pemain 21 tahun itu supaya terus bersikap rendah diri dan bekerja keras untuk memenuhi harapan.
“Dia sentiasa mahu tingkatkan prestasi, dia juga pemain yang merendah diri dan bekerja keras. Cabarannya sekarang adalah untuk mengekalkan tahap prestasinya bagi memenuhi jangkaan orang ramai terhadapnya.
“Kami juga perlu terus mencabarnya dan bekerja bersama-sama bagi membantunya meningkatkan prestasi,” kata Vieira.
Sejak menyertai Palace, pemain antarabangsa England itu turut menghasilkan tiga bantuan gol dan kelibatnya mula menarik perhatian Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.
Kemenangan itu juga menyaksikan Palace berjaya bangkit dan menebus tiga kekalahan pada aksi terdahulu dan ia cukup melegakan Vieira yang mengakui bahawa tiga mata pada perlawanan itu cukup penting.
“Selepas tewas tiga perlawanan, kali ini kami bermain di gelanggang sendiri dan perlu memenanginya.
“Ternyata kami berada di bawah tekanan kerana bukan senang untuk bermain selepas tewas tiga perlawanan,” jelasnya. – AGENSI