fbpx

Teroka Sains pupuk minat membaca generasi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan suami isteri, Dr. Wan Fahmi dan Dr. Nur Annies pada majlis perasmian Teroka Sains 1 dua tahun lalu.

PETALING JAYA – Tidak dinafikan, generasi muda pada masa kini lebih cenderung menatap dan bertemankan gajet elektronik berbanding memegang serta membaca buku.

Keadaan tersebut menyebabkan ramai ibu bapa mengeluh kerana ketika zaman dahulu, mereka tidak didedahkan dengan penggunaan teknologi berbanding anak-anak masa kini.

Justeru, ini telah membuka ruang idea buat pasangan suami isteri, Dr. Wan Fahmi Datuk Wan Mohamad Nazarie dan Dr. Nur Annies Abd Hadi untuk menulis dan menghasilkan bahan bacaan menarik yang memfokuskan kepada dunia sains.

Pengalaman dan kesempatan menuntut ilmu di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti of Edinburgh, United Kingdom (UK) termasuk bertemu saintis hebat di luar negara juga menjadi pendorong buat mereka untuk menerbitkan buku bermanfaat yang diberi judul Teroka Sains.

Menurut Dr. Nur Annies, Teroka Sains telah memasuki siri keempat dan setiap siri yang dihasilkan mendapat sambutan dan permintaan hebat daripada pelbagai golongan terutamanya ibu bapa yang mahu menerapkan keseronokkan membaca buat anak-anak mereka.

Lebih membanggakan, ingga kini keempat-empat siri buku itu sudah menarik minat lebih 100,000 golongan kanak-kanak untuk membaca dengan lebih 240,000 naskhah yang terjual.

“Siri pertama dengan judul Teroka Sains 1: Menerokai Keajaiban Alam Ciptaan Tuhan manakala buku siri kedua yang menfokus kepada alam haiwan bertajuk Teroka Sains 2: Fakta Pelik, Unik & Kelakar Haiwan diterbitkan pada tahun 2019.

“Tahun ini kita terbitkan dua siri, tiga dan empat. Siri ketiga diberi judul, Teroka Sains 3: Uniknya Awak yang memaparkan perihal manusia khususnya. Siri keempat berjudul Teroka Sains 4: Rindunya Nak Travel pula menelusuri fakta dan info sains menarik dari 74 buah negara termasuk negara yang pernah saya dan suami jejaki.

“Tajuknya sendiri kena dengan situasi semasa kita sebelum ini apabila tak boleh merentas negara kerana pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Dr. Wan Fahmi yang merupakan graduan Bioinformatik dan Biologi Pengkomputeran berkata, fakta dan info menarik tentang sains yang ditulis menerusi buku terbitannya adalah mudah dan senang untuk difahami sekali gus menarik minat si cilik dan juga ibu bapa untuk membaca.

“Sebagai contoh ada info tentang monyet yang suka berendam pada musim sejuk di negara Jepun, ada tasik yang berwarna-warni di Amerika Syarikat dan ada gunung berapi yang boleh kita pergi dengan lebih dekat di negara Vanuatu.

“Kami olah dengan gaya penyampaian yang menarik bagi mencipta suasana pembacaan yang lebih mengujakan buat si pembaca,” katanya yang memberitahu maklumat lanjut boleh diikuti di www.terokasains.com. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI