SHAH ALAM – Semua pihak dinasihatkan segera melaporkan kepada polis sekiranya menyedari wujud sebarang ‘bunga’ atau unsur kejadian buli melibatkan pelajar sekolah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, perkara itu dianggap perlu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil pihaknya.
“Mencegah itu lebih baik daripada merawat dan jangan sampai nasi sudah menjadi bubur.
“Kalau ada ‘bunga-bunga’ nak jadi macam itu (buli), lapor segera kepada polis untuk tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah (SAS) Kuala Kangsar, Perak dibuli menerusi video yang tular di media sosial.
Jelas Mazlan, polis akan segera melengkapkan siasatan insiden MRSM tersebut sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
“Seramai 10 pelajar berusia 13 hingga 15 tahun yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kita amat memandang serius perkara itu dan tidak mahu ia berulang. Tindakan tegas diambil mengikut undang-undang jenayah seperti Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. -K!ONLINE