PENYANYI kumpulan Girls’ Day, Minah mencatat kejayaan peribadi apabila membawa pulang trofi Pelakon Baharu Wanita Terbaik pada Anugerah Kritikan Filem Busan ke-22 baru-baru ini.
Kemenangan diraih Minah menerusi watak yang dibawanya dalam filem Snowball.
Ditayangkan pada September lalu, Snowball meraih populariti luar biasa di Korea Selatan.
Menerusi Snowball, Minah memegang watak sebagai pelajar berusia 18 tahun bernama Kang-yi yang berusaha keras untuk membaiki hubungan baik bersama rakan-rakannya.
Lakonan Minah dalam naskhah tersebut mencuri perhatian luar biasa peminat yang rata-ratanya memuji tahap pembawaan karakternya yang penuh penghayatan.
“Saya tak pernah jangka walaupun sangat mengimpikan untuk menang. Ini satu penghargaan. Saya kongsikan kemenangan ini kepada semua yang terlibat,” tulisnya dalam satu hantaran Instagram.