KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Menteri Dalam Negeri (MDN) untuk mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 yang lain selepas pendengaran permohonan semakan kehakiman mereka untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar MUDA sebagai sebuah parti politik.
Prosiding hari ini di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.
Wei Jiet berkata hakim Noorin membenarkan permohonan itu dan membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang menolak pendaftaran MUDA sebagai suatu parti politik.
“Mahkamah turut memerintahkan Menteri Dalam Negeri dan RoS membayar kos RM10,000 kepada MUDA,”katanya.
Sementara itu, Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Ali ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Pada 21 September lalu, Syed Saddiq serta 12 individu selaku pemohon memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Pada 24 Ogos lalu, Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu tersebut memfailkan permohonan kebenaran yang baharu bagi mencabar keputusan menteri dan RoS menolak rayuan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik.
Pada 18 Ogos lalu, MUDA menarik balik permohonan semakan kehakiman sebelum ini yang mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan MUDA. -K!ONLINE