Beberapa hari lalu, ramai rakan penulis membuat hantaran di laman Facebook meluahkan rasa kecewa apabila gagal menjelaskan saman trafik melalui portal MyBayar Saman yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mereka bukan sahaja tidak dapat menjelaskan saman, malah tidak dapat mengakses portal tersebut ekoran berlakunya kesesakan bermula hari pertama tawaran kompaun sebanyak 80 peratus pada 9 Disember lalu.
Bukan sahaja waktu bekerja, bahkan ada yang sanggup bersengkang mata sehingga pukul 3 pagi semata-mata untuk mengakses portal tersebut.
Tidak kurang juga ada juga yang mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan wang simpanan sehingga RM5,000 untuk menjelaskan saman tertunggak.
Situasi ini menunjukkan bahawa rata-rata rakyat negara ini menggunakan peluang yang ditawarkan kerajaan bersempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia untuk menjelaskan saman masing-masing.
Tawaran 80 peratus pengurangan saman itu bagaimanapun tidak melibatkan kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan serius, kesalahan kenderaan berat dan ubah suai ekzos.
Pengumuman Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk melanjutkan tempoh diskaun saman sehingga 31 Disember melegakan orang ramai.
Tinjauan penulis mendapati portal MyBayar Saman juga tidak lagi sesak seperti hari pertama hingga hari ketiga. Sedikit sebanyak dapatlah pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak menarik nafas lega.
Tambahan lagi, PDRM turut memberi peluang kepada orang ramai membuat bayaran melalui kaunter di cawangan trafik di seluruh negara, ia sekali gus membuatkan ramai yang tersenyum.
Jumlah kutipan saman yang tinggi pada hari pertama hingga ketiga menunjukkan ramai rakyat negara ini melakukan kesalahan lalu lintas atau dalam bahasa mudahnya suka langgar peraturan jalan raya.
Menurut Acryl Sani, PDRM merekodkan sebanyak RM109 juta jumlah kutipan saman trafik sejak hari pertama iaitu pada 9 Disember lalu hingga hari keempat setakat pukul 12 tengah hari, 12 Disember lalu.
“Jumlah kutipan itu diperoleh selepas 2.3 juta saman trafik diselesaikan di seluruh negara.
“Inisiatif pemberian diskaun 80 peratus ini diharapkan dapat membantu masyarakat yang mana pendapatan terjejas akibat Covid-19 sejak tahun lalu agar menyelesaikan saman trafik yang tertunggak,” ujarnya.
Jadi, bagi mereka yang mempunyai saman lalu lintas yang tertunggak, gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menjelaskannya.
Ramai yang menjelaskan saman membuktikan bahawa rakyat Malaysia suka menunggu tawaran diskaun.
Oleh itu PDRM disaran melaksanakan tawaran ini sepanjang masa bagi menarik minat orang ramai menjelaskan bayaran.
Kita fikir rakyat negara ini hanya teruja dengan tawaran diskaun untuk membeli-belah barangan, rupa-rupanya apa juga tawaran diskaun yang diberikan, nampaknya semua mereka akan ‘sapu’.