JAKARTA – Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati mengumumkan kenaikan kadar cukai rokok sebanyak 12 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2022, lapor laman berita Kompas semalam.
Menurut beliau, ia sekali gus akan menjadikan kebanyakan jenis rokok di Indonesia dijual pada harga 38,100 rupiah (RM11.26) sebungkus.
“Ini adalah cukai baharu yang akan mula dikuatkuasa pada Januari depan.
“Presiden Joko Widodo (Jokowi) meminta agar semua persiapan dapat diselesaikan sebelum kita boleh mengguna pakai cukai baharu pada 1 Januari depan,” katanya dalam satu sidang akhbar semalam.
Tambah Sri Mulyani, kenaikan kadar cukai rokok itu dilakukan selepas mempertimbangkan empat aspek utama iaitu mengurangkan bilangan perokok, isu pekerja di kilang rokok serta membanteras kegiatan penjualan rokok haram.
Di peringkat ASEAN, Indonesia merupakan negara ketiga yang menjual rokok pada harga tinggi iaitu di belakang Singapura dan Malaysia. – AGENSI