ABU DHABI – Meskipun terlepas gelaran dunia Formula Satu (F1), Lewis Hamilton dilihat menghormati keputusan tersebut sambil mengucapkan tahniah kepada seteru utamanya, Max Verstappen selepas dinobatkan sebagai juara dunia F1 bagi musim 2021.
Pada saingan tersebut, Hamilton hampir melengkapkan sejarah untuk meraih gelaran dunia kelapannya dalam perlumbaan F1 selepas menguasai sepanjang perlumbaan penutup musim di Grand Prix (GP) Abu Dhabi.
Bagaimanapun, perlumbaan itu berakhir dengan kontroversi berikutan Red Bull Racing didakwa meraih kemenangan atas bantuan pengarah perlumbaan dengan mendakwa melanggar peraturan kereta keselamatan badan induk sukan itu.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Verstappen dan pasukannya. Saya rasa kami telah melakukan kerja yang menakjubkan tahun ini, pasukan saya dan semua orang termasuk yang membantu saya, telah bekerja keras sepanjang tahun ini.
“Saya akui ia adalah musim yang paling sukar. Saya sangat bangga dapat meneruskan perjalanan yang luar biasa ini bersama mereka semua. Saya telah memberikan segala-galanya dan tidak pernah berputus asa dan itu yang paling penting.
“Sudah tentu saya berasa hebat di dalam jentera ini terutama pada perlumbaan terakhir ini. Akhir sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua. Kita akan berusaha pada tahun depan,” katanya.
Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff dilihat berang dengan insiden tersebut tersebut sekali gus mencabar keputusan yang dilakukan FIA.
Bagaimanapun, dua rayuan yang dibuat Wolff ditolak bulat-bulan oleh FIA sekali gus memastikan Verstappen dinobatkan sebagai juara dunia baharu bagi perlumbaan F1 musim ini. – AGENSI