SHAH ALAM – Dua lelaki yang diberkas berhubung kes kontraktor warga emas maut ditikam ketika mahu menunaikan solat Jumaat di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang, pada Jumaat lalu didapati positif dadah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek masih direman selama seminggu sehingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua suspek itu positif dadah jenis methamphetamine.
Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh kes itu termasuk mengenalpasti motif kejadian,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Tambah Mazlan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mangsa, Mohd. Sani Abdullah, 69, yang merupakan kontraktor itu meninggal dunia akibat kecederaan pada anggota badan selepas ditikam menggunakan pisau oleh seorang lelaki dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Jumaat lalu di hadapan rumahnya di Kampung Idaman, Klang dekat sini.
Kecekapan polis berjaya memberkas dua suspek masing-masing penganggur dan bekerja sendiri yang berusia 33 tahun dalam tempoh kurang empat jam di sekitar daerah ini dan Klang. -K!ONLINE