fbpx

Craft Musical Fest di Langkawi berlangsung sehingga 19 Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program julung kali Langkawi Craft Musical Fest menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

LANGKAWI – Kraftangan Malaysia berhasrat menjadikan Langkawi Craft Musical Fest 2021 sebagai program signatur di pulau peranginan ini dalam usaha untuk terus mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf alat muzik tradisional kepada orang ramai.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim berkata, festival yang berlangsung di Kompleks Kraf Langkawi bermula Sabtu lalu hingga 19 Disember ini berjaya menghimpunkan 15 individu dan kumpulan yang mengusahakan alat muzik kraf tradisional.

“Mereka merupakan pengusaha alat muzik seperti serunai dari Kedah, gambus dari Johor, rebana dari Perak dan sompoton dari Sabah.

“Kesemua usahawan kraf ini mempersembahkan alunan muzik menggunakan alat muzik tradisional masing-masing selain melakukan demonstrasi pembuatan peralatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Langkawi Craft Musical Fest di Kompleks Kraf Langkawi di sini kelmarin.

Seramai 51 usahawan kraf turut terlibat selain terdapat 13 gerai makanan tradisional mengikut negeri dengan sasaran pengunjung lebih 5,000 orang.

Antara pengisian program adalah jualan produk kraf, demonstrasi kraf alat muzik tradisional bersama Adiguru Kraf, eksplorasi kraf, persembahan pentas dan permainan tradisional.

Kata beliau, program itu juga diadakan bagi memperkenal dan mempromosikan usahawan kraf yang mengusahakan alat muzik tradisional tersebut.

“Menerusi program ini, kita berharap usahawan kraf alat muzik tradisional ini dikenali seterusnya dapat menjana lebih banyak pendapatan hasil jualan peralatan muzik tersebut,” ujarnya.

Menurut Aididah, walaupun program itu julung kali diadakan, sambutan yang diterima daripada pengunjung dan peserta amat menggalakkan.

“Sekiranya program ini dilaksanakan setiap tahun, pastinya akan menarik lebih ramai penyertaan serta kehadiran pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara,” ujarnya.

Katanya, festival itu akan menjadi signature event kepada Kompleks Kraf Langkawi.

“Kraftangan Malaysia juga berharap agar program ini dikenali sebagai Langkawi Craft International Musical Fest setanding dengan Rainforest World Music Festival pada masa depan,” jelasnya.

Aididah berkata, inisiatif untuk mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf alat muzik tempatan berupaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf negara.

“Keunikan program ini yang berkonsepkan alunan semulajadi iaitu muzik dan bunyian daripada alat muzik tradisional merupakan satu kelainan yang wajar diketengahkan kepada masyarakat setempat mahupun pelancong,” katanya.

Jelas beliau, program itu selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri yang mana setiap kementerian dan kerajaan negeri bertanggungjawab untuk memastikan aspirasi tersebut tercapai dan dinikmati rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI