SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyambut baik cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) supaya Elaun Bayaran Insentif Bomba (Elaun BIB) dapat dikaji semula.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kertas cadangan berkaitan elaun berkenaan juga telah dihantar pihaknya ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini untuk dipertimbangkan.
“Permohonan kami dalam proses pertimbangan oleh pihak JPA. Pihak bomba menghormati pandangan Cuepacs berkenaan hal itu dan kami percaya mereka juga mendapat maklum balas daripada Kesatuan Bomba iaitu ahli dalam Cuepacs.
“Kami berterima kasih kepada Cuepacs kerana memperjuangkan aspek kebajikan anggota bomba. Kami juga sentiasa mempunyai ruang untuk berunding bersama pihak JPA dan setakat ini, JPA amat responsif dan kami berharap ia mendapat pertimbangan kerajaan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai di sini hari ini.
Yang hadir sama, Naib Canselor USIM, Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali.
Semalam, media melaporkan Cuepacs mencadangkan kerajaan supaya mengkaji semula Elaun BIB yang diterima anggota JBPM ketika ini iaitu sebanyak RM110 sebulan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, jumlah itu disifatkan tidak setimpal dengan bebanan dan risiko tugas anggota JBPM yang diarahkan bekerja 12 jam tanpa sebarang tuntutan untuk tugasan lebih masa.
Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, JBPM akan memproses cadangan untuk menaikkan pangkat secara “posthumous’ daripada pangkat Keselamatan Bomba (KB) 19 ke KB 22 kepada Allahyarham Mohd. Firdaus Sulaiman yang meninggal dunia semalam selepas insiden letupan Sabtu lalu. -K! ONLINE