KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berkaitan dokumen palsu kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan tersebut.
“Mahkamah telah mendengar, meneliti dan menimbang penilaian secara maksimum segala keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan serta hujahan bertulis dan autoriti yang difailkan dan hujahan lisan semua pihak.
“Mahkamah berpuas hati dan memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kamu bagi Seksyen 468 Kanun keseksaan kerana melakukan pemalsuan dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat Timbalan Naib Canselor UMS seperti yang dipertuduhkan, oleh demikian kamu diperintah membela diri, ” kata hakim itu.
Mahkamah kemudian menetapkan lima hari berturut bermula 3 Januari hingga 7 Januari tahun depan bagi perbicaraan bela diri.
Sejurus selepas membaca keputusan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap tersebut diberi tiga pilihan oleh mahkamah untuk membela diri dan tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Munawar Kabir Mohd. Zainal Abidin mewakili Peter.
Pada 21 September lalu, pihak pendakwaan hari menutup kesnya selepas 15 saksi dipanggil memberi keterangan. Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada April 2021.
Antara 15 saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.-K!ONLINE!