LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan berpuas hati dengan aksi yang pamerkan oleh pemain tengahnya, Jorginho yang muncul wira pasukan ketika menentang Leeds United kelmarin.
Pada aksi yang berlangsung di Stamford Bridge itu, Chelsea tidak diberikan laluan mudah oleh skuad kendalian Marcelo Bielsa, namun Jorginho berjaya memberikan kemenangan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan sekali gus menjadi gol kedua peribadinya pada aksi berkenaan.
Menurut Tuchel, pemain antarabangsa Itali itu berdepan masalah kecederaan belakang ekoran kerap diturunkan, namun dia sanggup untuk turun beraksi selepas The Blues kehilangan
khidmat N’golo Kante yang cedera serta Mateo Kovacic yang positif Covid-19.
“Dia sangat penting untuk pasukan ini. Jorgi telah berkorban untuk Chelsea sejak beberapa minggu lalu.
“Masalah kecederaan mula mengganggunya ekoran terlalu kerap beraksi. Bermain untuk kelab dan negaranya, Itali dalam kempen antarabangsa.
“Ia bukanlah mengenai kemampuan fizikal semata-mata tetapi dia mempunyai mental yang sangat kuat. Saya sedar bahawa akan tiba satu masa tahap kecergasannya akan mula menurun.
“Dia tahu pasukan berdepan masalah kerana ketiadaan Kante dan Kovacic tetapi dia sanggup berkorban dan memberikan yang terbaik,” katanya. – AGENSI