JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat pembekal daging sejuk beku, pengurus dan akauntannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM13.28 juta pada Oktober 2018 hingga Disember 2020.
Syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd. diwakili pengarahnya, Yong Chee Keong, 40, pengurus, Chong Kim Kuang, 48, dan akauntan, Ng Yee Xin, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Fatimah Zahari selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.
Mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lagi tertuduh iaitu pengarah syarikat, Tan Siew Huak, 42, yang masih bebas.
Kesemua tertuduh masing-masing menghadapi empat pertuduhan.
Mereka didakwa menerima wang hasil pengubahan wang haram berjumlah RM13,278,625.27 daripada sebuah akaun semasa milik LY Frozen Food Sdn. Bhd.
Kesalahan dilakukan pada 31 Oktober 2018 sehingga 31 Disember 2020 di dua cawangan bank di Senai, Kulai dan Taman Molek, di sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Pada 2 Disember tahun lalu, sebuah akhbar melaporkan kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara yang dibungkus semula menggunakan logo halal sebelum dijual di pasaran tempatan.
Kegiatan kartel itu terbongkar hasil hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di sini membabitkan nilai rampasan RM6.47 juta. -K! ONLINE