KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguh ke esok berikutan status MySejahteranya menunjukkan beliau Orang Dalam Pengawasan (PUS).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan agar perbicaraan hari ini dilapangkan selepas peguam Datuk Hariharan Tara Singh memaklumkan bahawa status MySejahtera Najib dan peguam bela utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kekal sebagai ‘PUS’ dan ‘kontak kasual’.
“Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhammad Shafee telah melakukan ujian kit ujian pantas (RTK) mengikut arahan mahkamah dan keputusan negatif selain telah mengemas kini MySejahtera. Tetapi status mereka masih sama dan saya telah menyemak garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) tempoh kuarantin adalah selama 10 hari,” kata peguam itu.
Hakim Collin kemudian bertanya kepada peguam jika Najib dan Muhammad Shafee terikat dengan perintah kuarantin, Hariharan menjawab mereka dijangka menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM.
Justeru hakim itu kemudian memerintahkan prosiding disambung esok untuk pihak pembelaan mengemas kini status MySejahtera Najib dan Muhammad Shafee.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, dua saksi yang sepatutnya memberi keterangan pada minggu ini iaitu bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan pegawai khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail tidak boleh hadir ke mahkamah.
“Bagaimanapun, saksi ke-12 dan ke-13 pendakwaan, Mohd. Hazem Abdul Rahman (bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB) dan Azmi Tahir (bekas ketua pegawai kewangan 1MDB) hadir hari ini untuk pihak pembelaan meneruskan pemeriksaan balas mereka.
“Kami telah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk memohon perbicaraan itu dijalankan secara hibrid. Perbicaraan dalam talian telah dilakukan di Mahkamah Rayuan bagi permohonan Datuk Seri Najib serta rayuan kes SRC International beliau,” kata Ahmad Akram.
Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 kes pengubahan wang haram dalam jumlah sama. -!ONLINE