GOLD COAST, CHICAGO – Aksi dua perompak memecah masuk ke dalam ruang pameran kereta mewah di Chicago dan merompak sekurang-kurangnya lapan utas jam tangan jenama mewah bernilai berjuta-juta dolar dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan, lapor portal berita MailOnline semalam.
Dalam rompakan yang mengambil masa hanya 20 saat itu, dua lelaki tersebut memecah masuk ke ruang pameran Gold Coast Auto Gallery yang mempamerkan kereta Bentley, Lamborghini dan Rolls-Royce.
Seorang daripada mereka berdiri di hadapan pintu sambil memegang sepucuk pistol, manakala konconya memecahkan bekas pameran yang menempatkan jam tangan jenama mewah dan membawa lari sekurang-kurangnya lapan daripadanya.
Seramai 10 pelanggan termasuk kanak-kanak dilaporkan berada di dalam premis itu semasa kejadian pada petang Sabtu lepas.
Pekerja-pekerja premis itu dilaporkan cuba mengejar dua perompak tersebut namun gagal menangkap mereka.
“Kami mengejar mereka di sepanjang jalan, namun mereka kemudiannya berpecah,” kata pemilik bersama bilik pameran tersebut, Joe Abbas.
Nilai dan model jam tangan yang dirompak bagaimanapun tidak didedahkah meskipun barangan tersebut adalah berkaitan kereta mewah yang dipamerkan.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut. – AGENSI