LIVERPOOL – Impian Steven Gerrard untuk mencatat kemenangan bersama pasukan bimbingannya, Aston Villa di Anfield tidak tercapai apabila mereka tewas 0-1 kepada Liverpool pada aksi kelmarin.
Pada aksi itu, Villa berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan menutup segenap ruang dan tidak membenarkan pemain The Reds untuk menguasai perlawanan.
Bagaimanapun, hasrat mereka terencat selepas pengadil perlawanan menganugerahkan sepakan penalti apabila mendakwa Tyrone Mings mengasari Mohamed Salah yang kemudiannya menyempurnakan sepakan tersebut.
Biarpun tidak membantah keputusan tersebut, Gerrard cukup yakin pengadil juga sepatutnya melihat lebih teliti insiden pada minit ke-85 apabila pemainnya, Danny Ings dikasari oleh Alisson Becker dalam kotak penalti.
“Akhirnya perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. Liverpool berjaya mendapatkannya (penalti) tetapi sebaliknya buat kami.
“Jika Danny Ings meletakkan tangan dekat dengan Alisson, ia menjadi satu kesalahan tetapi jika Alisson melakukan perkara sama kepada Ings, kenapa ia dibenarkan dan tidak menjadi kesalahan?
“Saya sangat kecewa dengan pengadil yang gagal melihat kedua-dua situasi ini dengan lebih adil,” kata Gerrard. – AGENSI