MOSCOW – Satu kajian mendapati Lego merupakan bentuk pelaburan baharu yang mampu memberikan keuntungan sangat lumayan kepada pemiliknya sekiranya blok permainan tersebut disimpan untuk tempoh yang lama, lapor laman berita Wionews semalam.
Kajian dilakukan oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Fakulti Ekonomi Tinggi (HSE) di Moscow, Rusia itu mendedahkan bahawa barangan unik seperti set permainan Lego boleh menjadi portfolio pelaburan yang kukuh buat pemiliknya.
“Kita sering menganggap bahawa orang ramai membeli barang berharga seperti emas, barang antik atau karya seni sebagai satu bentuk pelaburan.
“Bagaimanapun, kajian kami mendapati bahawa mereka boleh mendapatkan pulangan berlipat ganda dengan melabur dalam barangan yang unik dan ‘kurang serius’ seperti set Lego dan patung Barbie,” kata Profesor Madya Sains Ekonomi dari Universiti HSE, Victoria Dobrynskaya.
Kajian sama turut mendapati bahawa aktiviti jualan dan pembelian bagi pasaran Lego sebenarnya telah pun berlaku.
Ia merupakan sebuah pasaran besar yang tidak diketahui oleh pelabur biasa.
“Faktor-faktor seperti pengeluaran produk yang terhad, set edisi terhad dan kekurangan produk tersebut di pasaran menyebabkan harganya melonjak setiap tahun.
“Nilai purata pulangan bagi set Lego berkemungkinan boleh mencecah sekitar 10 hingga 11 peratus setahun, melebihi kadar pulangan saham, bon atau emas,” kata kajian tersebut.
Bagaimanapun, sebuah set Lego hanya mempunyai nilai sekiranya ia telah disimpan selama lebih tiga tahun. – AGENSI