KUALA LUMPUR – Seorang pekerja sebuah restoran maut selepas tertikam paha sendiri dipercayai mabuk di Taman Usahawan Kepong, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.57 pagi sebelum menemui seorang lelaki berusia 49 tahun terbaring berlumuran darah di lokasi berkenaan.
“Terdapat beberapa kesan tikaman pada paha kanan si mati yang tidak memakai baju dan berseluar jeans itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Eng Lai, siasatan mendapati si mati pekerja di premis di lokasi kejadian dan minum minuman keras bersama dua lagi rakan pada pukul 12 tengah malam setelah tamat waktu bekerja.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis itu menunjukkan mangsa mengambil sebilah pisau dan menikam paha kanannya beberapa kali sebelum rebah.
Tambah beliau, tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.- K! ONLINE