fbpx

Musang king dapat sambutan di Belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pengunjung mencuba produk berasaskan durian semasa program Taste of Malaysia 2021 di Amazing Oriental, Belanda.

PUTRAJAYA – Produk makanan tempatan terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan di Belanda dengan mencatatkan peningkatan jualan sehingga 228 peratus dalam Program Taste of Malaysia (TOM) 2021 pada 10 hingga 23 November lalu di negara Eropah tersebut.

Turut mendapat permintaan tinggi dari rakyat Belanda adalah buah durian sejuk beku jenis musang king serta produk-produk makanan lain yang juga berasaskan durian.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Pejabat Wakil Pertanian di The Hague berkata, program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di The Hague dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta pasar raya Amazing Oriental yang merupakan pasar raya Asia terbesar di Belanda.

“Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pihak pasar raya, secara keseluruhannya program ini telah menunjukkan peningkatan jualan produk makanan Malaysia yang amat memberangsangkan iaitu sehingga 228 peratus berbanding tanpa usaha promosi.

“Isi buah durian sejuk beku jenis musang king mendapat permintaan sehingga enam kali ganda iaitu 86 karton berbanding 12 karton tanpa promosi manakala buah durian sejuk beku pula mencatatkan jualan sehingga tiga kali ganda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, program berkenaan dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai produk makanan Malaysia di samping mempromosikan durian serta produk berasaskan durian jenis musang king di negara tersebut.

“Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid turut menekankan bahawa potensi pasaran produk pertanian di Eropah adalah amat luas, namun pada masa yang sama aspek keselamatan makanan juga perlu diutamakan.

“Pihak Kesatuan Eropah memberi perhatian yang serius terhadap keperluan import dan eksport seperti aspek kelestarian, ‘traceability’, pensijilan, pembungkusan dan pelabelan yang dapat dilihat melalui polisi-polisi berkaitan sekuriti makanan yang telah dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Naszirah Osman yang telah merasmikan program itu turut menyatakan keperluan untuk menjalin kerjasama strategik bersama pihak pasar raya di Belanda bagi memastikan lebih banyak buah-buahan dan produk makanan dapat diimport ke sana. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI