GERIK – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa mandi di Sungai Perak berdekatan Kampung Sawa di sini kelmarin, ditemui lemas hari ini.
Mayat Nabil Haikal Nazarrudin, 21, ditemui orang awam pada pukul 8.41 pagi kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa mandi bersama rakannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Farizul Anuar Razali berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan setelah pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.44 petang, kelmarin.
Katanya, mengikut maklumat rakan si mati, mangsa yang bekerja membina jambatan di lokasi tersebut mandi di sungai itu bersama rakan lain sebelum dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa dihanyutkan arus kira-kira tiga kilometer dari lokasi kali terakhir dia dilihat sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya di sini hari ini. -K! ONLINE