KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang membangunkan satu rangka tindakan sektor angkasa yang komprehensif dikenali sebagai “Malaysia Space Exploration 2030” bagi memacu pertumbuhan sektor angkasa negara.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Mohamed berkata, rangka tindakan itu menggariskan strategi bagi tempoh 10 tahun yang akan mewujudkan ekosistem angkasa negara yang mampan.
“Hal ini jelas dengan pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 khususnya teras ke-4 iaitu menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan negara. Terdapat empat insiatif utama yang sedang dirancang dan akan dilaksanakan dibawah “Malaysia Space Act 2030″,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (Pas-Setiu) tentang rancangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membantu pembangunan industri angkasa negara.
Ahmad Amzad berkata, inisiatif pertama adalah program pembangunan satelit penderiaan jarak jauh yang akan dilaksanakan dengan kaedah kerjasama awam swasta sekali gus mewujudkan peluang kerjasama strategik antara kerajaan dan industri tempatan dalam pembangunan teknologi satelit buatan tempatan.
Menurut beliau, program itu juga berpotensi meningkatkan pertumbuhan industri pembuatan komponen satelit, industri hiliran berasas data berteraskan teknologi angkasa dan industri simpangan, manakala inisiatif kedua adalah Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 yang akan dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia.
“Pelan ini menetapkan matlamat, fokus dan keutamaan aktiviti teknologi angkasa bagi memacu industri angkasa tempatan agar berdaya saing,” katanya.
Kata beliau, inisiatif ketiga melibatkan pemerkasaan kapasiti infrastruktur angkasa negara merangkumi pemasangan, integrasi dan dan pengujian satelit, fasiliti kawalan misi satelit di Banting dan stesen penerima data satelit di Temerloh.
“Keempat melibatkan pengesahan kerjasama antarabangsa dalam sektor angkasa melalui pemeteraian memorandum persefahaman dengan negara maju dalam bidang angkasa,” katanya. – K! ONLINE