KINABATANGAN – Seorang Kanak-kanak perempuan ditemui lemas semalam selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit di Kampung Tumanggung, Jeroco, di sini.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Putri Arnil, 12, ditemui pada pukul 5.40 petang oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi di lokasi tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.56 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, operasi pencarian terus dijalankan bermula dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. Kanak-kanak itu ditemui di dasar parit kira-kira 150 meter dari lokasi dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nurul Azlan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas. -K! ONLINE