CERVERA, Sepanyol – Pelumba LCR Honda, Alex Marquez mengakui Repsol Honda hilang ‘DNA’ sebenar selepas abangnya, Marc Marquez mengalami kecederaan hingga tidak dapat beraksi musim lalu.
Sejak Julai tahun lalu hingga April 2021, Repsol Honda dilihat bergelut untuk membina jentera RC213V terbaik bagi memastikan pasukan itu mampu kembali bersaing.
Pada penghujung musim 2021, Honda semakin menemui sentuhan mereka semula selepas Marquez muncul juara berturut-turut di Grand Prix (GP) Amerika dan GP Emilia Romagna.
Ketiadaan Marquez ternyata memberi kesan yang cukup besar terutama dalam pembangunan jentera yang menyebabkan pasukan itu bergelut untuk mendapatkan podium.
“Tanpa abang (Marquez) saya, Repsol Honda hilang arah dan selepas dia kembali bersama pasukan semula barulah pasukan menyedari terdapat kesilapan yang mereka lakukan.
“Keadaan tersebut menyebabkan pasukan bergelut untuk mendapatkan perlarasan terbaik untuk membantu semua pelumba di bawah selian Honda mendapatkan tunggangan yang lebih sempurna,” katanya.
Pada tahun 2022, Honda dijangka berdepan kesukaran sekali lagi apabila Marquez mengalami gegaran otak kecil yang mengganggu penglihatan.
Kecederaan itu menyebabkan Marquez tidak dapat menyertai sesi ujian jentera di Litar Jerez, Sepanyol bermula kelmarin sebagai pemanas badan untuk menghadapi saingan MotoGP musim depan. – AGENSI