LONDON – Seorang saintis terkemuka di Britain menyatakan bahawa varian baharu Covid-19 yang amat mudah berjangkit, Omicron menyebabkan gejala amat ringan terhadap individu yang sudah divaksin sekali pun golongan warga emas, lapor akhbar The Sun semalam.
Biarpun Omicron disahkan amat mudah berjangkit, kajian awal menunjukkan varian baharu itu tidak selalunya menyebabkan gejala teruk dan kurang serius berbanding varian dominan masa kini, Delta.
Profesor dari Kolej King’s London itu, Tim Spector memeriksa jangkitan varian Omicron di Britain termasuk dalam kalangan warga emas dan mendapati pesakit hanya mengalami simptom seperti selesema. Kesemua jangkitan tersebut melibatkan mereka yang sudah mendapat pelalian lengkap dua dos vaksin Covid-19.
“Apa yang kami perhatikan adalah gejala yang muncul adalah amat ringan.
“Kebanyakan maklumat yang saya peroleh melibatkan acara besar di mana jangkitan menular. Satu acara berkenaan menyaksikan 18 individu berusia 60 hingga 75 tahun telah dijangkiti varian Omicron. Kebanyakan mereka hanya mengalami selesema, sakit tekak dan keletihan,” katanya.
Beliau menambah, hanya dua daripada mereka mengalami gejala biasa yang dikaitkan dengan Covid-19 iaitu demam, kehilangan deria bau dan rasa.
Malah, tiada antara mereka yang perlu berjumpa doktor atau pergi ke hospital. – AGENSI