JOHOR BAHRU – Seorang bekas atlet Orang kelainan upaya (OKU) negara, Norisah Bahrom merasa amat bersyukur mendapat segulung ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Komputer pada Majlis Konvokesyen ke-64 Universiti Teknologi Malaysia di sini hari ini.
Norisah, 46, memberitahu pengorbanannya berbaloi walaupun terdapat kekangan untuk menamatkan pengajian lebih awal kerana terpaksa mewakili negara dalam sukan tenis berkerusi roda di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Katanya, sokongan motivasi oleh suami yang juga atlet paralimpik negara, Abu Samah Borhan, 36, menjadi sumber kekuatan buatnya menamatkan pengajian dalam tempoh tujuh tahun.
“Arwah Ibu bapa, Bahrom Mad Yasin dan arwah ibu, Zainon Ibrahim juga adalah sumber kekuatan saya. Mereka meninggal dunia tanpa sempat melihat saya menggenggam ijazah. Sepanjang tempoh pengajian dan aktif sukan, mereka tidak putus asa memberi galakan.
“Bagi saya, kejayaan merangkul segulung ijazah ini adalah cita-cita paling unggul buat diri saya. Ia menjadi pelengkap buat kejayaan diri setelah beberapa kali mengharumkan nama negara.
“Buat masa ini, saya belum merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada kekal dalam bidang sama atau menjurus kepada kerjaya berkaitan pengurusan sukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 8,956 graduan menerima anugerah masing-masing iaitu 748 orang bagi Ijazah Doktor Falsafah; 1,915 (Ijazah Sarjana); 4,326 (Ijazah Sarjana Muda); 4 (Ijazah Anumerta); 719 (Diploma Sepenuh Masa) dan 1,248 (Diploma Program Kerjasama UTMSPACE). -K! ONLINE