MELAKA – Hasrat seorang abang membawa adiknya ke kedai berakhir dengan tragedi apabila kanak-kanak berusia 11 tahun itu maut dalam kemalangan di Jalan Bertam Ulu di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa Muhammad Amir Qusyairi Khairul Bahiyuddin, 11, maut di tempat kejadian manakala abangnya, Khairul Amir Safwan, 15, parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, nahas berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dalam perjalanan dari Sungai Udang untuk pulang ke rumah mereka di Bertam Ulu.
“Setiba di lokasi, motosikal dinaiki dua beradik itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi. Akibat rempuhan itu, pembonceng iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut di tempat kejadian, manakala abangnya parah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Difahamkan dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Rumah Awam Bertam Hulu selepas keluar ke kedai. -K! ONLINE