ABU DHABI – Mercedes dilaporkan sudah menyiapkan sebuah jentera terbaik untuk pemandunya, Lewis Hamilton bagi mencipta sejarah Formula Satu (F1) dalam pemburuan gelaran dunia kelapan pada saingan penutup musim ini di Grand Prix (GP) Abu Dhabi malam ini.
Pada sesi latihan semalam, Hamilton bermula baik apabila mendahului catatan masa pada sesi latihan ketika pencabar utamanya dari Red Bull Racing, Max Verstappen dilihat bergelut untuk mengejar kepantasan Mercedes di Litar Yas Marina.
Ketika ini, Hamilton mengumpul mata yang sama dengan Verstappen sekali gus bakal memberi tekanan kepada pasukan Red Bull yang dilihat terdesak untuk mencari gelaran dunia sulung mereka di pentas perlumbaan F1.
“Bagi saya sesi latihan tersebut tidak terlalu teruk. Saya bermula dengan kurang baik pada sesi latihan pertama kemudian bertambah baik pada sesi kedua dengan beberapa perubahan kami lakukan.
“Kini kami perlu melihat data dan cuba mencari jalan bagaimana kami boleh memperbaiki catatan di beberapa sektor.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan langkah positif ini dan hanya ingin lakukan terbaik pada perlumbaan sebenar nanti,” kata Hamilton.
Dalam pada itu, sekiranya Hamilton berjaya mencatat sejarah dengan gelaran dunia kelapan malam ini, pelumba kelahiran Britain tersebut bakal menerima bonus £4 juta (RM22.36 juta). – AGENSI