LONDON – Seorang wanita mengaku bersalah selepas mendera monyet peliharaannya termasuk menawarkan haiwan itu dadah jenis kokain dan cuba mengepamnya ke dalam lubang tandas, lapor laman berita The Guardian semalam.
Berdasarkan perbicaraan di mahkamah, tertuduh, Vicki Holland didakwa bertindak agresif terhadap haiwan primat itu.
Menerusi satu rakaman video, sebelah tangan Holland dilihat memegang kokain sambil monyet itu menyorok di satu sudut di kediamannya di South Wales.
Holland turut didengar berkata, “Mahu sedikit coke (kokain)? Jilat jari saya.”
Sementara itu, dalam satu video lain pula, ibu kepada empat orang anak itu kedengaran ketawa ketika cuba mengepam monyet tersebut ke dalam lubang tandas.
Dalam masa sama, haiwan itu berpaut pada bahagian tepi mangkuk tandas tersebut sebelum Holland bertindak mengepam tandas itu.
Holland dilarang memelihara semua jenis haiwan seumur hidupnya selepas mengaku bersalah atas tiga kesalahan Akta Kebajikan Haiwan dan dikenakan hukuman penjara 12 minggu.
Dia juga diarah membayar kos sebanyak £420 (RM2,348) dan surcaj mangsa sebanyak £128 (RM715.65).
Peguam, Scott Bowen berkata, anak guamnya berasa amat malu dengan kelakuannya dan menambah bahawa monyet tersebut mengalami tekanan namun, tiada kesakitan jangka panjang. – Agensi