KLANG – Rakaman detik pembunuhan seorang lelaki warga emas yang ingin solat Jumaat di Kampung Idaman, Pandamaran semalam yang tular di laman sosial menyentuh emosi orang ramai.
Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang ketika itu melalui lokasi kejadian.
Berdasarkan video berdurasi itu satu minit 46 saat itu menunjukkan seorang lelaki bersenjata terus meluru ke arah mangsa yang baharu melintasi pagar rumahnya.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa sedih dan pilu kerana insiden itu berlaku ketika mangsa mahu menunaikan ibadah.
“Innalillahi wainnalillahirajiun. Meninggal pada hari Jumaat yang mulia dalam perjalanan nak solat Jumaat.
“Semoga tempatnya di syurga. Insya-Allah,” kata pengguna @Roshaya Mohd. Noor.
Rasa geram turut diluahkan mengenai tindakan si pelaku yang tergamak melakukannya ke atas warga emas.
“Takziah kepada keluarga, semoga syurga tempatmu meninggal dalam keadaan nak pergi solat jumaat. Tahniah PDRM dapat selesaikan kes dalam masa 4 jam sahaja” ujar Ahmad Responto.
Kosmo! terdahulu melaporkan seorang lelaki dikenali Mohd. Sani Abdullah, 69, meninggal dunia selepas ditikam di hadapan rumahnya ketika ingin menunaikan solat Jumaat.
Bagaimanapun, kecekapan pihak polis memberkas dua suspek lelaki berusia 33 tahun kira-kira pukul 4 petang di sekitar Klang dan Shah Alam yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari. -K!ONLINE