MANCHESTER – Manchester United mendapat perkhabaran gembira selepas pemain pertahanan mereka, Raphael Varane kembali menjalani latihan penuh bersama pasukan itu dan bakal berada di bangku simpanan menjelang aksi menentang Norwich City awal pagi esok.
Pemain antarabangsa Perancis yang berhijrah dari Real Madrid pada musim panas lalu tersisih daripada aksi bersama United sejak November lalu selepas berdepan masalah kecederaan hamstring.
Dia mengalami kecederaan pangkal paha ketika menyertai skuad Perancis pada Oktober sehingga terlepas dua perlawanan sebelum berdepan masalah hamstring ketika United menentang Atalanta pada saingan Liga Juara-Juara.
Jangkaan awal menyaksikan Varane mungkin hanya akan kembali beraksi pada awal tahun hadapan tetapi proses pemulihannya berjalan dengan lancar sekali gus membolehkannya kembali menjalani latihan bersama pasukan lebih awal.
Perkembangan itu menyaksikan Varane mungkin akan berada dalam skuad United yang akan berdepan Norwich biarpun di bangku simpanan tetapi segala keputusan bergantung kepada pengurus mereka, Ralf Rangnick.
Bagaimanapun, dia hampir pasti akan diturunkan untuk aksi menentang Brentford pada pertengahan minggu nanti.
Kecederaan Varane menyaksikan United berdepan masalah di bahagian pertahanan sehingga memaksa Rangnick menurunkan Nemanja Matic sebagai pertahanan tengah ketika aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Young Boys awal pagi Khamis lalu. – AGENSI