fbpx

Promosi bisnes gaya Adele si suara emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUASA media sosial sangat dahsyat. Ia boleh menaik dan menjatuhkan orang sekelip mata. Di Malaysia, media sosial yang mula meledak pada awal tahun 2000 menjadi senjata untuk mencipta keuntungan peribadi.

Sosial bermaksud bergaul dengan orang ramai dengan cara berkomunikasi. Maklumat untuk bersosial berbeza mengikut zaman dan ia sentiasa berubah kerana kemajuan teknologi dipelopori barat.

Pada zaman lampau, burung merpati digunakan untuk berbalas mesej. Kepandaian melatih haiwan berkenaan begitu mengagumkan kerana nota seperti telegram itu terus sampai dengan selamat kepada si penerima.

Orang yang hidup pada zaman 60-an pula mendapat maklumat sosial dengan cara hebahan melalui radio. Cara ini dapat dilihat dalam filem Ibu Mertuaku ketika Sabariah terjelepuk apabila mendengar lagu, Jangan Tinggal Daku dendangan kugiran Kassim Selamat.

Ketika itu, kita digambarkan masyarakat pada zaman berkenaan walaupun kaya, golongan ‘kayangan’ masih bergantung kepada radio untuk mendapatkan informasi sehinggakan tidak tahu rupa paras artis yang dipuja dan hanya jatuh cinta dengan suara mereka.

Peredaran zaman menghapuskan cara kuno untuk berkomunikasi. Bermula dengan terciptanya komputer yang menjadi asas kepada pembuatan robot, dunia kemudian terus dibelenggu dengan ledakan media sosial.

Penyanyi bersuara kontralto, Adele Laurie Blue Adkins atau lebih dikenali sebagai Adele misalnya tidak perlu bersusah payah apabila hanya menggunakan perkataan “oiii…oiii” sahaja untuk menjual tiket konsert meganya pada Julai 2022 menerusi Twitter.

Ini contoh kepada orang yang berpengaruh dalam bidangnya mencetak duit dengan cara mudah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak ketinggalan apabila menggerakkan segala kepakaran untuk menangkis segala serangan ke atasnya menerusi Facebook selepas Barisan Nasional tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pembelajaran di sekolah dan syarikat-syarikat menggunakan Google Meet serta aplikasi Zoom ketika mengendalikan kelas atau mesyuarat harian sepanjang pandemik Covid-19. Cara ini kekal sehingga hari ini.

Seperti juga wang yang bergerak dari akaun ke akaun dengan hanya menggunakan hujung jari, perbualan manusia juga melalui fasa perubahan ketara. Ketahanan mata semakin terhakis kerana sering terdedah kepada cahaya skrin komputer dan telefon bimbit.

Melihatkan kepada perubahan drastik ini, sudah tentu teknologi pada zaman ini akan menjadi bahan ketawa kepada masyarakat yang hidup dalam tempoh 100 atau 1,000 tahun akan datang.

Sama seperti kita mentertawakan kalau ada rakan yang menggunakan telefon bimbit lama berbanding yang berteknologi pintar.

Apa akan jadi pada anak-anak kita yang ketika ini bagaikan dirantai tanpa bayang. Puas kita tegah, namun ia seakan tidak jalan kerana perisian yang disediakan ternyata mengundang kepada kelalaian.

Pada tahap ini, ternyata tiada apa yang mampu kita bendung kerana alam maya ternyata melangkaui pemikiran. Ia merupakan pilihan sama ada digunakan untuk kebaikan atau keburukan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI