PUTRAJAYA – Mesyuarat bagi membincangkan perancangan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Wilayah Persekutuan akan diadakan selewat-lewatnya hujung bulan ini sebelum membentangkan kertas cadangan kepada Kabinet untuk kelulusan.
Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Dr. Hasnul Faizal Amri berkata, perbincangan itu termasuklah dari segi lokasi kejohanan, jumlah sukan yang akan dipertandingkan, peruntukan kewangan yang diperlukan serta modul yang akan digunakan.
“Kita ada dapat maklumat kemungkinan kejohanan akan diadakan di beberapa lokasi antaranya Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun pusat utama kejohanan adalah di Bukit Jalil.
“Mesyuarat bagi membincangkan semua perkara ini dan penyediaan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada Kabinet akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Malaysia Rugby Medical Symposium 2021, hari ini.
Turut hadir, Presiden Ragbi Kuala Lumpur, Datuk Azaddin Ab. Aziz dan Pengarah Perubatan dan Kebajikan Ragbi Malaysia, Dr. Nik Haziran Wan Hamat.
Hasnul Faizal berkata, selepas mendapat kelulusan Kabinet, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia akan diadakan sebelum keputusan akan diumumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) yang kemudiannya akan dimaklumkan kepada semua negeri yang terlibat. – K! ONLINE.