KOTA BHARU – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) menggesa bekas tentera yang belum menyertai mana-mana persatuan bekas tentera agar menyertainya demi kebajikan dan masa depan mereka.
Wakil presidennya, Abdul Rani Aziz berkata, pihaknya percaya terdapat lebih 100,000 bekas tentera tidak berpencen gagal mendaftar termasuk ada yang dikesan hidup dalam kedaifan.
Katanya, tindakan tidak menyertai sebarang persatuan amat merugikan mereka sendiri yang mana akan tercicir daripada agihan bantuan yang disalurkan sama ada secara berterusan atau berkala.
“Ramai dalam kalangan bekas tentera dikategorikan sebagai asnaf dan keadaan mereka semakin terhimpit apabila tidak mendaftar dengan persatuan.
“Sepanjang berkhidmat, nyawa mereka diibaratkan sebutir peluru dan menjadi kerugian jika tidak menyertai persatuan selepas menamatkan khidmat kerana tidak semua yang ada kewangan yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PVATTBM Negeri Kelantan Kali Ketiga 2021 di sini hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim. -K! ONLINE