IPOH – Halangan aliran air pada longkang utama selain hujan lebat yang berterusan menjadi punca kejadian banjir kilat di Taman Cempaka di sini malam tadi yang menyebabkan beberapa jalan di kawasan kejiranan itu ditenggelami air sedalam 0.6 meter.
Pemantauan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta kontraktor projek dan wakil penduduk mendapati tiga jambatan pejalan kaki yang merentangi longkang utama di situ menyebabkan air terhalang.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keadaan itu menjadikan air deras tidak boleh melepasi lalu melimpah ke kawasan Jalan Persiaran Chempaka Sari 10, 7 dan 5.
Menurut beliau, ianya berpunca berikutan hujan lebat yang berlaku antara pukul 9 hingga 10 malam di Taman Cempaka yang mencatatkan bacaan 48.5 milimeter iaitu kategori lebat.
“Susulan kejadian banjir kilat malam tadi, pihak MBI bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy, Ahli Majlis, kontraktor dan wakil penduduk telah menjalankan siasatan serta pemantauan bersama di kawasan yang terjejas
“Hasil perbincangan bersama, kita akan minta kontraktor membuka tiga jambatan itu sebagai penyelesaian jangka pendek bagi kaedah kawalan banjir untuk memberikan laluan air yang lancar pada longkang utama,” ujarnya di sini hari ini.
Bagi kaedah kawalan jangka sederhana dan panjang, katanya, MBI akan menjalankan siasatan ke atas kawasan-kawasan persekitaran, taman-taman berdekatan dan projek-projek baru yang berdekatan kawasan Taman Cempaka.
Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat itu pada pukul 9.07 malam tadi.
Menurut jurucakap tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh telah dihantar ke lokasi tersebut bagi memberikan bantuan.
“Setibanya bomba di tempat kejadian mendapati berlaku banjir kilat dengan paras air naik sehingga 0.6 meter.
“Pihak bomba terus membuat pemantauan dan air semakin surut manakala tiada mangsa terjejas dipindahkan,” ujar jurucakap tersebut manakala operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.57 malam. – K! ONLINE.