KLANG – Dua lelaki direman seminggu bagi membantu siasatan kes kontraktor warga emas yang maut ditikam ketika mahu menunaikan solat Jumaat di Kampung Idaman, Pandamaran di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, perintah reman ke atas kedua-dua suspek berusia 33 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini.
“Tempoh reman ke atas mereka termasuk seorang penggangur dibenarkan selama tujuh hari sehingga 17 Disember ini.
“Siasatan menyeluruh kes itu masih sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! terdahulu melaporkan hasrat seorang lelaki warga emas untuk menunaikan solat Jumaat bertukar tragedi apabila dia maut ditikam di hadapan rumahnya di Kampung Idaman.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Sani Abdullah, 69, meninggal dunia akibat kecederaan di anggota badan. – K! ONLINE